MOHD. AZLI ADLAN
DUNGUN - Jabatan Perhutanan Terengganu akan memasang sistem siren kepala air bagi mengurangkan risiko kejadian mati lemas akibat fenomena berkenaan di semua lapan air terjun yang terdapat di hutan lipur di negeri ini.
Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, sistem siren terkenaan bertujuan untuk memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya fenomena kepala air kepada pengunjung agar segera meninggalkan kawasan air terjun terbabit untuk menyelamatkan diri.
"Bunyi daripada siren berkenaan boleh didengari sekurang-kurangnya dalam lingkungan dua kilometer.
"Pemasangan sistem amaran kepala air tersebut akan dilakukan secara berperingkat di semua air terjun yang terdapat di dalam hutan lipur negeri ini bermula dengan Taman Eko-Rimba Chemerong dekat sini pada pertengahan tahun hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan upacara pelepasan 31 individu golongan orang kelainan upaya masalah pendengaran mendaki Gunung Chemerong, Berembun dan Lansir, Hulu Dungun dekat sini disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyrakat Terengganu, Roslee Daud semalam.
Ahmad Fadzil berkata, selain Taman Eko-Rimba Chemerong, sistem siren kepala air itu juga akan turut di pasang di kawasan air terjun Sekayu, Lata Tembakah, Lata Belatan, Chemerong, Air Menderu, Rimba Bandar Bukit Bauk, Jambu Bongkok dan Lata Payung. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment