Translate

Wednesday, March 14, 2018

Kesilapan kecil buat Sang Penyu gigit jari

KEGAGALAN barisan serangan memanfaatkan peluang terhidang menjadi punca Terengganu FC I (TFC I) terpaksa gigit jari apabila tewas 0-1 kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) di ge­langgang sendiri pada aksi Liga Super kelmarin.

Pengendali TFC1, Irfan Bakti Abu Salim berkata, keputusan itu merupakan antiklimaks di sebalik dominasi anak-anak buahnya pada hampir ke­seluruhan 90 minit perlawanan kelima Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu tersebut.

“Saya kecewa kita gagal menggunakan peluang yang ada. Sekurang-kurangnya tiga peluang terbuka yang diperoleh disia-siakan.

“Beraksi dengan JDT, jika tidak mengambil peluang, memang ‘kena­lah’,” katanya.

Irfan berkata, sebaliknya, JDT bijak memanfaatkan kesempatan tunggal yang diperoleh untuk menghasilkan gol biarpun dilihat kurang mengancam pintu gol kelab kendaliannya sepanjang aksi berkenaan.

Pengendali tempatan berpengalaman itu memberitahu, gol tunggal dijaringkan pemain import JDT, Marcos Antonio pada minit ke-29 berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan skuad Sang Penyu.

“Salah seorang daripada pemain pertahanan telah terkeluar dari posisi asal sehingga membuka ruang kepada pemain lawan untuk menghasilkan gol yang menjadi pemisah kepada perlawanan ini.

“Situasi itu telah saya ingatkan kepada pemain semasa latihan, namun malangnya ia berlaku juga pada aksi sebenar,” katanya.

Begitupun, Irfan memberi jaminan kekalahan tersebut yang meranapkan rekod tanpa kalah TFC I pada musim ini tidak sesekali akan memberi kesan besar kepada keutuhan kelabnya.

“Perjalanan liga masih panjang dan fokus TFC I untuk memburu kedudukan ketiga terbaik Liga Super musim ini tidak pernah luntur,” katanya.

No comments:

Post a Comment