Translate

Monday, March 26, 2018

Seorang maut, Toyota Hilux jatuh gaung

HULU TERENGGANU – Seorang maut manakala dua cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka kemalangan di Kilometer 391.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berdekatan Jambatan Sungai Padi, Ajil di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.15 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki ke­semua mangsa hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terjunam ke dalam gaung sedalam tujuh meter.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd. Salleh Abdullah berkata, pemandu kenderaan berkenaan, Mohd. Sabri Mohd., 38, yang cedera parah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu di sini.

Beliau berkata, adik mang­sa, Rozita Mohd., 36, dan anak lelakinya, Tengku Muhammad Ridhwan Tengku Rohaizak, 4, yang cedera pula dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan.

“Kenderaan dinaiki ketiga-tiga mangsa yang membawa muatan ketulan batu marmar difahamkan dalam perjalanan pulang ke Felda Kerteh 6, Dungun dari Kampung Tajin, Kuala Berang di sini.

“Kemalangan berlaku semasa hujan renyai dan kesemua mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mohd. Salleh berkata, bomba menemui Tengku Muhammad Ridhwan di bawah jambatan menghadap Sungai Padi yang terletak kira-kira tujuh meter dari lokasi kenderaan ditemui.

No comments:

Post a Comment