DUNGUN – Jabatan Perhutanan Terengganu akan memasang sistem siren kepala air bagi mengurangkan risiko kejadian mati lemas akibat fenomena berkenaan di semua lapan air terjun yang terdapat di hutan lipur di negeri ini.
Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, sistem siren itu bertujuan memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya fenomena kepala air kepada pengunjung agar segera meninggalkan kawasan air terjun terbabit untuk menyelamatkan diri.
Menurutnya, sistem siren yang dianggarkan bernilai antara RM200,000 hingga RM300,000 setiap satu berkenaan bakal diletakkan di kawasan punca atau hulu air terjun terlibat.
“Bunyi daripada siren berkenaan boleh didengari sekurang-kurangnya dalam lingkungan dua kilometer.
“Pemasangan sistem amaran kepala air tersebut akan dilakukan secara berperingkat di semua air terjun yang terdapat di dalam hutan lipur negeri ini bermula dengan Taman Eko-Rimba Chemerong dekat sini pada pertengahan tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan upacara pelepasan 31 individu golongan orang kelainan upaya masalah pendengaran mendaki Gunung Chemerong, Berembun dan Lansir, Hulu Dungun dekat sini semalam.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyrakat Terengganu, Roslee Daud.
Selain Taman Eko-Rimba Chemerong, sistem siren kepala air itu juga akan turut dipasang di kawasan air terjun Sekayu di Kuala Berang, Lata Tembakah serta Lata Belatan di Besut, Air Menderu di Kerteh, Rimba Bandar Bukit Bauk di Dungun, Jambu Bongkok di Marang dan Hutan Lipur Lata Payung di Setiu.
Kelmarin, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Mohd. Azim Rohaizat, 20, mati lemas ketika sedang berkelah di Hutan Lipur Lata Payung, Setiu.
No comments:
Post a Comment