MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam peringkat akhir rundingan untuk memperolehi kebenaran untuk mengeksport semula sarang burung walet mentah secara terus ke pasaran China.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, wakil kementerian telah mengadakan empat kali pertemuan dengan pihak berkuasa China berhubung rundingan itu sejak Protokol Pemeriksaan Kuarantin dan Keperluan Kebersihan Veterinar bagi Pengeskportan Sarang Burung Walit Mentah ditandatangani kedua-dua pihak kira-kira setahun lalu.
"Perkembangan (rundingan) amat positif dan kita berkeyakinan akses untuk mengeksport terus sarang burung walet mentah ke China dapat direalisasikan tidak lama lagi.
"Ia juga bersandarkan inisiatif kerajaan China yang telah membina dua blok bangunan bernilai RM400 juta di Kawasan Perindustrian Chengdu sebagai persediaan untuk memproses sarang burung walet mentah Malaysia," katanya selepas menghadiri majlis Perjumpaan dengan Pengusaha Sarang Burung Walet di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment