Translate

Thursday, March 29, 2018

UniSZA tubuh Humane untuk hantar sukarelawan ke wilayah bergolak dunia

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menubuhkan kelab Kemasyarakatan UniSZA untuk Kemanusiaan (Humane) yang memberi tumpuan untuk menjalankan aktiviti kebajikan dan kemanusiaan di wilayah bergolak seluruh dunia seperti Palestin serta Rohingya.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UniSZA, Brig. Jeneral Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, penubuhan kelab Humane bertitik tolak daripada penekanan semangat kesukarelawan dalam kalangan kakitangan dan pelajar seiring dengan fungsi UniSZA sebagai universiti komuniti.

Beliau berkata, kesengsaraan dan penderitaan yang menimpa penduduk di wilayah bergolak seperti Palestin, Rohingya dan Syria selama bertahun-tahun juga telah membuka mata warga UniSZA untuk turut serta menghulurkan bantuan menerusi aktiviti kemanusiaan.

"UniSZA menerusi Kelab Humane berhasrat untuk menghantar sukarelawan terdiri daripada kakitangan dan pelajar untuk melakukan misi kemanusiaan ke wilayah-wilayah berkenaan.

"Sebagai perintis, kami bercadang untuk menghantar sekumpulan pakar bedah dan perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh, Cox’s Bazar pada bulan depan," katanya selepas menghadiri majlis perasmian program Mahabbah : Untukmu Al-Aqsa dan Rohingya di pekarangan Masjid UniSZA di sini hari ini.


Program yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman tersebut turut dihadiri Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abd. Latif. - K! ONLINE 

No comments:

Post a Comment