Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang pengurus restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan menyebarkan gambar lucah bekas teman wanitanya yang kini merupakan seorang doktor di dalam laman blog, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohammad Khairul Abidin Abdul Rahim, 34, yang bekerja di sebuah restoran di Kuching, Sarawak membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.
Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar telah memulakan penghantaran komunikasi bersifat lucah dengan niat untuk menganiaya pengadu dengan memuat naik kandungan itu di dalam laman blog menerusi aplikasi blogspot dan wordpress dari 16 Jun hingga 4 Julai 2015.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pengadu yang ketika itu merupakan pelajar institusi pengajian tinggi luar negara terbaca kandungan tersebut di sebuah rumah di Chendering, Kuala Terengganu pada pukul 3 petang, 3 Ogos 2015 sebelum membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria manakala tertuduh yang juga bapa kepada seorang anak berusia dua tahun diwakili peguam bela, Zul Basyar.
Mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan 15 April bagi sebutan kes serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Tertuduh yang berasal dari Kampung Atas Tol di sini gagal membayar wang jaminan tersebut dan dihantar ke Penjara Marang.
No comments:
Post a Comment