Translate

Friday, March 30, 2018

Pusat Kokurikulum UMT terus diperkasa

PELAN Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang digariskan Kementerian Pengajian Tinggi menyasar pembentukan graduan tempatan yang bersifat holistik, berkemahiran dan mempunyai nilai diri tinggi.

Sehubungan itu, antara langkah awal diambil Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh untuk merealisasikan matlamat berkenaan ialah memperkenalkan sistem purata nilai gred kumulatif bersepadu (i-CGPA).

Sistem penilaian baharu tersebut bukan sahaja berdasarkan akademik semata-mata tetapi turut berdasarkan kepada penglibatan dalam aktiviti kokurikulum yang turut menyumbang kepada pembentukan sahsiah dan sosial setiap graduan universiti tempatan.

Penerapan dasar baharu seiring dengan Revolusi Industri 4.0 tersebut mampu menyiapkan graduan berkenaan dengan ciri-ciri holistik seperti berketrampilan, berdaya saing dan berdisiplin tinggi sebagai nilai tambah bagi mengharungi kehidupan bekerjaya yang semakin mencabar kini.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tidak terkecuali mengambil inisiatif memperkasakan aktiviti kokurikulum melibatkan pelajarnya dengan penubuhan Pusat Kokurikulum pada 1 Mac 2017.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, Pusat Kokurikulum yang dinaik taraf daripada Jabatan Seni dan Kreatif di bawah Pusat Pendidikan Asas Liberal itu kini menawarkan 52 kursus kepada kira-kira 1,4000 pelajar sarjana ijazah pertama dan diploma bagi setiap semester.

"Sebanyak 12 kursus baru bertaraf dua kredit bakal ditawarkan pada Sesi I 2018/2019 yang bermula September depan termasuk Apresiasi Alam dan Warisan Laut.

"Kursus Apresiasi Alam dan Warisan Laut yang memberi pendedahan terhadap survival laut dan kelestarian alam sekitar ini bertaraf mata pelajaran umum dan wajib bagi semua pelajar tahun satu UMT," katanya pada temubual khas bersama Kosmo! baru-baru ini.

Pusat Kokurikulum UMT

Nor Aieni berkata, Pusat Kokurikulum UMT memfokuskan lima kluster iaitu Badan Beruniform, Sukan dan Rekreasi, Kebudayaan dan Kesenian, Keusahawanan, Kepimpinan dan Kemasyarakatan serta Komunikasi dan Kemahiran Insaniah.

Beliau berkata, setakat ini, pelajar UMT boleh menyertai empat badan beruniform iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Siswa (APM Siswa), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Laut,  Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan Pasukan Askar Wataniah.

"Bagi memantapkan lagi kluster tersebut, kami bercadang untuk menubuhkan lagi empat badan beruniform baharu iaitu Palapes Darat, Kadet Maritim Malaysia, Kadet Relasiswa dan Kadet Bomba pada masa terdekat," ujarnya.

Kerjasama Universiti Bersama Industri
Nor Aieni berkata, UMT juga secara dasar telah mencapai persetujuan untuk menjalin kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menubuhkan pusat latihan bagi pengurusan bencana di kampus universiti itu yang terletak di Kuala Nerus, Terengganu.

Menurut beliau, antara modul yang dicadangkan ialah latihan bersama dengan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

"Ini peluang terbaik pelajar UMT untuk memperolehi latihan penyelamatan dan pengurusan bencana profesional dan bertaraf antarabangsa yang mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk memiliki persijilannya.

"Kita juga menggalakkan pelajar untuk memanfaatkan inisiatif penangguhan pengajian sehingga setahun atau dua semester yang dibenarkan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengikuti aktiviti kesukarelawan, inovasi dan penyelidikan dengan pusat latihan pengurusan bencana Nadma terbabit," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nor Aieni memberitahu, kadar kebolehpasaran graduan UMT adalah 95.97 peratus bagi lepasan peringkat diploma dan 73.22 peratus bagi pemegang ijazah sarjana muda.

Ujar beliau, kadar kebolehpasaran graduan yang memberansangkan itu sudah pastinya berkait rapat dengan kemampanan Pusat Kokurikulum biarpun baru berusia setahun baru-baru ini.

"Pusat Kokurikulum yang kini diterajui pengarahnya, Prof. Datuk Dr. Saharuddin Abdul Hamid sejak Februari lalu dalam persediaan untuk menjadi pusat tanggungjawab tersendiri menjelang sesi semester baharu pada September depan.

"Pusat terbabit juga menyasar untuk memantapkan lagi penawaran latihan berkredit termasuk persijilan diiktiraf pertubuhan profesional bukan sahaja kepada pelajar UMT malah kepada komuniti setempat," jelasnya.

Persijilan Profesional

Sementara itu, Saharuddin berkata, beberapa kursus kendalian Pusat Kokurikulum UMT telah mencatat kecemerlangan yang mengharumkan nama universiti seperti kejayaan APM Siswa menjadi johan keseluruhan empat kali berturut-turut pertandingan kemahiran pertolongan cemas, menyelamat dan kawad kaki antara institusi pengajian tinggi.

Tambah beliau, seramai 164 pelajar dan tujuh kakitangan telah berjaya mendapat persijilan Rekreasi Luar Tahap Satu dan Dua yang dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Kita bercadang untuk menyediakan kursus persijilan Kejurulatihan Rekreasi Luar Tahap Tiga dan Empat di samping menganjurkan kursus dan persidangan berkaitan sains sukan, perubatan dan fisioterapi sukan.

"UMT juga telah mengeluarkan persijilan asas penyelaman skuba melibatkan kira-kira 30 pelajar bagi setiap semester selain kursus penyelamatan di dalam air, Bronze Medallion yang disertai sehingga enam pelajar bagi tempoh sama," katanya.

Saharuddin berkata, bagi perancangan masa depan, pihaknya bercadang untuk menganjurkan kursus persijilan kayak dan jurulatih kayak, kejurulatihan dan pengadilan badminton dan bola tampar serta pemancing rekreasi.

Menurut beliau, kesemua kursus tersebut akan dikendalikan dengan kerjasama KBS, persatuan-persatuan dan sekolah sukan.

"Selain itu, UMT juga merancang untuk membina trek basikal dan equestarian di kampus baharu di Bukit Khor, Marang. Bagi kluster Budaya dan Seni pula, kami bercadang untuk menganjurkan bengkel asas kelestarian seni teater dan penulisan skrip drama televisyen dan radio," katanya.

No comments:

Post a Comment