Translate

Wednesday, March 28, 2018

Felcra sasar tingkat hasil pengeluaran kepada RM10 juta

KUALA NERUS - Felcra Berhad (Felcra) yang merupakan agensi penyatuan dan pemulihan tanah persekutuan berhasrat untuk memaksimumkan hasil pengeluaran di 97,280 hektar tanah milik peserta agensi itu di seluruh negara.

Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, agensi itu sedang melakukan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan pengeluaran tanah pesertanya kepada RM10 juta bagi setiap hektar yang disasar dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kita hendak melakukan transformasi minda dan teknologi dalam kalangan peserta Felcra. Perkara ini tidak mustahil kerana petani Taiwan, Jepun dan Korea Selatan telah berjaya melakukannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Zulkarnain Md. Eusope.

Sebahagian besar peserta Felcra mengusahakan tanaman sawit dan getah.

Pada majlis itu, Bung Moktar turut mengumumkan pembayaran dividen sebanyak kira-kira RM1.3 juta kepada 5,998 peserta di Terengganu.

Bung Moktar memberitahu, pembayaran dividen itu hasil daripada keuntungan 178 projek di 19 kawasan seluas 23,474 hektar yang dibangunkan di seluruh Terengganu pada tahun lalu.

Terdahulu, pada majlis sama, Felcra Panchor Merah, Setiu dinobatkan sebagai Ahli Jawatankuasa Projek Terbaik Terengganu 2017.

Koperasi Seri Bandi, Kemaman pula menerima anugerah Koperasi Terbaik, Felcra Bukit Jetit (Persatuan Wanita Dinamik Felcra) dan Felcra Hulu Berang (Persatuan Belia Terbaik).

Penerima anugerah masing-masing menerima ganjaran wang tunai RM3,000 berserta sijil penghargaan.

No comments:

Post a Comment