MOHD. AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU - Perjalanan sebuah keluarga untuk pulang ke rumah dari kampung berakhir dengan tragedi apabila sorang maut manakala dua termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera parah selepas mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 391.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berdekatan Jambatan Sungai Padi, Ajil di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.15 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux dinaiki kesemua mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terjunam ke dalam gaung yang sedalam hampir tujuh meter.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd. Salleh Abdullah berkata, pemandu Toyota Hilux berkenaan, Mohd. Sabri Mohd., 38, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan meninggal dunia dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan ke Hospital Hulu Terengganu di sini.
Beliau berkata, adik pemandu, Rozita Mohd., 36, dan anak lelakinya, Tengku Muhammad Ridhwan Tengku Rohaizak, 4, yang cedera pula dikejarkan di unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan.
"Kemalangan itu berlaku dalam keadaan hujan renyai dan kesemua mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan itu setelah terjunam ke dalam gaung berkenaan.
"Mohd. Sabri dan Rozita yang cedera parah ditemui tercampak berasingan pada kedudukan kira-kira tiga meter dari Toyota Hilux dinaiki mereka yang remuk teruk," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment