Translate

Friday, March 16, 2018

Ejen insurans rugi RM17,000 akibat ditipu rakan sendiri

KUALA TERENGGANU – Niat murni seorang ejen insurans untuk membantu rakannya menambah pendapatan bertukar mimpi ngeri apabila terpaksa menanggung kerugian lebih RM17,000 selepas sebahagian wang pembayaran premium insurans kenderaan pelanggan didakwa dilarikan lelaki itu.

Rozuwari Abdullah, 34, dari Manir dekat sini mendakwa, pada mulanya dia membenarkan rakannya yang berusia 36 tahun itu mencari pelanggan untuk dua syarikat pengendali insurans kenderaan berlesen miliknya bermula Disember tahun lalu.

“Dia juga dibenarkan untuk mengakses sistem pangkalan data milik saya bagi memudahkan transaksi. Setiap komisen diterima juga diserahkan kepadanya sebagai menghargai usa­hanya mencari pelanggan baharu.

“Semuanya nampak berjalan lancar sehinggalah saya dimaklumkan oleh dua syarikat pengendali insurans tersebut tentang kegagalan rakan sa­ya itu mendebitkan pembayaran premium insurans kenderaan pelanggan pada 26 Februari lalu,” dakwanya kepada Kos­mo! semalam.

Rozuwari berkata, penipuan rakannya terbongkar apabila pihaknya mendapati kesemua cek yang dikemukakannya tidak dapat ditunaikan kerana ketia­daan wang dalam akaun bank semasa lelaki itu.
Dia mendakwa, usahanya untuk menjejak rakannya gagal apabila lelaki itu menghilangkan diri.

“Saya tanggung kerugian kerana terpaksa membayar premium insurans kenderaan pelanggan lebih RM17,000 yang hilang ke­rana bimbang disenarai hitam,” ujarnya.

Rozuwari membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada 27 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment