MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Program larian santai bertemakan pakaian tradisional anjuran kumpulan laman Facebook, Kuala Terengganu Residen (Kuterer) yang berlangsung di sekitar Muzium Negeri Terengganu, Losong di sini hari ini menarik penyertaan 2,300 peserta.
Kebanyakan peserta ceria berlari dengan kostum masing-masing seperti pahlawan, nelayan, petani, puteri dan serikandi sepanjang menyertai larian santai sejauh kira-kira 3.3 kilometer tersebut.
Pengarah program, Mohd. Fadilah Mohamad berkata, berbeza dengan acara larian lain yang biasanya mencari pelari terpantas, penilaian program larian santai yang julung kali dianjurkan Kuterer berkenaan berdasarkan pemakaian kostum paling menarik dan kreatif dalam kalangan peserta.
"Program larian santai ini cukup meriah seolah-olah pesta kebudayaan dengan kebanyakan peserta bukan sahaja berpakaian mengikut tema ditetapkan malah turut membawa aksesori tambahan seperti jala, bubu, sepanduk dan bunga manggar.
"Tambah unik, kami selaku pihak penganjur menawarkan hadiah berupa seekor kambing yang dianggarkan bernilai RM1,200 bagi pemenang kategori berkumpulan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kuterer yang wujud sejak September 2015 merupakan sebuah kumpulan laman Facebook yang memiliki kira-kira 88,000 ahli yang kebanyakannya dalam kalangan anak jati Terengganu. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment