Translate

Monday, March 12, 2018

JDT lega jinakkan skuad TFC I

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMENANGAN tipis 1-0 sudah cukup buat kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membawa pulang tiga mata berharga pada aksi dengan Terengganu FC I (TFC I) dalam saingan Liga Super kelmarin.

Kejayaan meleburkan rekod tanpa kalah skuad Penyu di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu juga membolehkan JDT kembali melonjak ke tangga teratas Liga Super.

Jurulatih sementara JDT, Raul Longhi berkata, kemena­ngan ke atas TFC I yang juga pendatang baharu Liga Super telah memberi kelegaan dan kegembiraan kepada kelabnya.

“Aksi ini bukan mudah, TFC I merupakan pasukan yang kuat.
Begitupun pemain-pemain berjaya mengatasi cabaran yang diberikan pasukan tuan rumah dengan berkesan.

“Apa yang penting, kami berjaya membawa pulang tiga mata dan kemenangan ia telah memberi keceriaan kepada pengurusan kelab dan semua pemain,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pemain pertahanan import Harimau Selatan, Marcos Elias Santos muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-29.

Pertahanan berasal dari Brazil itu bijak memanfaatkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti TFC I berikutan sepakan percuma diambil Nicholas Alberto Fernandez yang beraksi kali pertama untuk JDT.

Biarpun Fernandez beraksi cemerlang, Longzhi enggan terlalu memuji pemain kelahiran Argentina itu secara individu dan menganggap kemenangan yang diraih merupakan hasil kerja keras berpasukan.

Dalam perkembangan sama, beliau mempertahankan tindakannya meletakkan kapten pasukan, Safiq Rahim sebagai pemain simpanan pada aksi penting menentang skuad Penyu tersebut.

Tambah Longhi, strategi dan taktikalnya dalam pemilihan kesebelasan utama berkenaan terbukti membuahkan hasil apabila kelab kendaliannya berjaya menjinakkan TFC I.

“Safiq, Safawi (Rasid) masih merupakan pemain penting. Semua pemain yang kami miliki adalah amat penting buat JDT,” katanya.

No comments:

Post a Comment