Translate

Saturday, March 3, 2018

31 OKU pendengaran sahut cabaran

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Kekurang­an diri bukan halangan buat 31 individu daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) masalah pendengaran menyahut cabaran mendaki Gunung Chemerong, Berembun dan Lansir dekat sini semalam.

Presiden Persa­tuan Orang Pekak Terengganu, Tengku Arman Harris Tengku Ismail berkata, pendakian  tiga hari dua malam itu turut dibantu 10 malim gunung.

Gunung Cheme­rong adalah setinggi 370 meter (m), Berembun (1,038m) dan Lansir (801m).

“Semua peserta ekspedisi terdiri daripada OKU masalah pendengaran dari seluruh negara dan ia bertujuan sebagai aktiviti riadah dan memupuk kecintaan pada alam sekitar dalam kalangan kami.
“Kami dijangka mendaki selama lapan jam sebelum tiba ke puncak gunung dan bercadang untuk berkhemah di lokasi itu selama dua malam sebelum turun,” katanya dalam bahasa isyarat di Taman Eko-Rimba Cheme­rong, Hulu Dungun, di sini semalam.

Pelepasan ekspedisi terbabit disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Roslee Daud.

Menurutnya, antara cabaran dijangka dihadapi peserta adalah masalah komunikasi disebabkan mereka menghadapi masalah pendengaran manakala malim gunung pula rata-ratanya tidak mahir menggunakan bahasa isyarat.

Bagaimanapun katanya, khidmat jurubahasa isyarat yang berfungsi sebagai pengantara akan digunakan sepanjang proses pendakian terbabit.

“Kami juga membekalkan wisel kepada setiap peserta untuk ditiup sekiranya berlaku kecemasan atau terpisah dari kumpulan bagi menarik perhatian malim gunung agar dapat bantuan dengan segera,” ujarnya.
Sementara itu, seorang peserta, Chan Sau Lin, 52, memberitahu, dia dan rakan-rakan begitu teruja untuk mendaki gunung ini yang terkenal dalam kalangan pendaki tempatan dan antarabangsa kerana keindahannya.

No comments:

Post a Comment