Translate

Saturday, March 3, 2018

BN buat persiapan paling rapi

DUNGUN –  Barisan Nasional (BN) membuat persiapan paling rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berbanding pilihan raya umum sebelum ini termasuklah membuat menilai senarai calon-calon dengan teliti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, sehingga kini senarai calon yang masih menjadi misteri sedang diteliti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Pengerusi BN serta timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengikut kriteria yang ditentukan parti.

“Perdana Menteri akan umumkan senarai calon pada masa yang sesuai, sekarang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) selaku pucuk pimpinan parti sedang meneliti nama-nama calon.

“Saya tidak pernah melihat PM (Perdana Menteri) membuat persiapan begitu teliti, kita mengambil kira semua perkara termasuklah sentimen di pe­ringkat bahagian atau cawangan serta penerimaan rakyat terhadap calon berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya dan Gerak Gempur Tawan Parlimen Dungun di Kampung Seberang Pintasan di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Din Adam.

Hishammuddin yang merupakan Menteri Pertahanan berkata, ahli parti perlu memberikan sokongan kepada calon-calon yang akan diumumkan nanti dan tidak melakukan tindakan sabotaj bagi memastikan kemenangan BN pada PRU-14 nanti.

Hishammuddin berkata, ke­pimpinan parti di peringkat akar umbi juga perlu berpegang kepada ikrar dan janji untuk terus bekerja keras dan mengetepikan kepentingan diri.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan di peringkat nasional, BN mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali semua Parlimen Dungun dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rantau Abang, Sura dan Paka yang terlepas kepada pembangkang pada PRU-13 lalu.

“Saya juga yakin BN dapat mempertahankan kerusi DUN Bukit Besi dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya umum kali ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment