Translate

Tuesday, March 27, 2018

86 individu dipercayai penagih dadah diberkas di Hulu Terengganu dan Setiu

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU -Seramai 86 individu yang disyaki penagih dan pengedar dadah berjaya ditahan dalam Operasi Tapis Bersepadu/Perdana yang dijalankan di sekitar daerah ini dan Setiu hari ini.

Kesemua suspek termasuk tiga wanita yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun itu ditahan pasukan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dalam operasi selama 12 jam bermula pukul 12 tengah malam berkenaan.  

Penolong Pengarah Kanan (Penguatkuasaan dan Keselamatan) AADK Terengganu, Wan Jalani Wan Ismail berkata,  operasi bersepadu tersebut bertujuan untuk membanteras gejala penyalahgunaan dadah di kawasan tanah rancangan Felda dan pendalaman di kedua-dua daerah terbabit.

"Salah seorang suspek lelaki berusia 21 tahun pula dipercayai pengedar dadah selepas ditahan bersama 100 biji pil kuda di sebuah rumah di Kampung Bukit Apit, Ajil  pada kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.


"Sewaktu serbuan dilakukan, suspek sedang membungkus pil kuda terbabit di dalam salah sebuah bilik di dalam rumah itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment