KUALA TERENGGANU – Status MySejahtera semua pelanggan yang pernah berurusan dengan sebuah klinik swasta di Marang yang disyaki menjual sijil vaksinasi palsu telah disekat Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sekatan itu dilakukan selepas semakan mendapati sekurang-kurangnya 1,223 daripada 1,900 dokumen mengandungi butiran pelanggan klinik itu telah dihantar kepada pihak vendor untuk dikemas kini status MySejahtera masing-masing.
Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua 1,223 individu yang mendapat perkhidmatan dengan klinik swasta terbabit sebenarnya tidak pernah menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Semakan lanjut sedang dilakukan KKM untuk menyemak sama ada status MySejahtera 1,223 pelanggan klinik swasta itu sudah dikemaskini atau sebaliknya.
“Buat masa ini, seramai 23 pelanggan klinik swasta tersebut mengaku tidak divaksin Covid-19 walaupun status MySejahtera sudah merekod penerimaan vaksinasi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.
Rohaimi berkata, pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya daripada Pejabat Pendakwa Raya berhubung pendakwaan terhadap tujuh individu termasuk doktor swasta berusia 51 tahun yang dilepaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lalu.
Kosmo! 11 Januari lalu melaporkan kegiatan seorang doktor klinik swasta membekalkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu kepada golongan anti vaksin sejak September tahun lalu terbongkar dalam serbuan di Marang pada 8 Januari lalu. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment