Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Isu kekurangan kit ujian pantas (RTK) antigen di pasaran pada waktu ini tidak menyeluruh dan hanya melibatkan lokasi tertentu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pemeriksaan mendapati masih terdapat kira-kira 18 juta set kit RTK antigen di pasaran pada waktu ini.
“Rakyat tidak perlu bimbang kerana bekalan kit RTK antigen masih mencukupi di pasaran. Pemeriksaan kita mendapati kebanyakan premis perniagaan yang kehabisan stok menjual kit tersebut dengan harga murah di bawah RM10.
“Isu bekalan tidak timbul di premis perniagaan yang menjualnya pada harga hampir sama dengan siling iaitu RM19.90,” katanya ketika meninjau program Jualan Keluarga Malaysia peringkat Manir di Batu Hampar, Manir di sini hari ini.
Kosmo! 16 Februari lalu melaporkan ramai peniaga terputus bekalan kit RTK antigen berikutan ia laku keras sejak seminggu lalu.
Difahamkan situasi itu berlaku disebabkan orang ramai terutama ibu bapa ‘memborong’ kit ujian Covid-19 berkenaan bagi memeriksa status kesihatan masing-masing sebelum bekerja dan ke sekolah ekoran kenaikan kes positif Covid-19 sejak akhir-akhir ini.
Dalam perkembangan sama, Rosol menasihatkan pengguna hanya membeli kit RTK antigen yang mempunyai label Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi memastikan ketulenannya.
Jelas beliau, ia bagi mengelakkan pengguna terbeli kit ujian Covid-19 tiruan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment