Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Operasi mencari dan menyelamat seorang peniaga terjatuh ke dalam sungai berhampiran Jambatan Tembila di sini semalam memperolehi petunjuk baru dengan penemuan beg sandang mangsa hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, beg sandang milik Shukri Wahab, 52, tersebut dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 12 tengah hari.
“Beg sandang itu ditemui berhampiran tebing sungai kira-kira empat kilometer dari lokasi kenderaan pacuan empat rodanya, Toyota Hilux terjunam semalam.
“Ahli keluarganya yang melakukan pengecaman kemudian mengesahkan beg sandang terbabit milik mangsa (Shukri),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Terdahulu ahli keluarga Shukri termasuk anak sulungnya, Farah Hanani, 24, tidak dapat menahan tangisan sewaktu melakukan pengecaman terhadap beg sandang terbabit di tebing sungai.
Dalam pada itu, Muhammad Basri memberitahu, fokus pencarian Shukri kini tertumpu kepada empat kilometer dari lokasi kejadian berikutan petunjuk terbaharu berkenaan.
Tambah beliau, selain pencarian di kawasan sungai menggunakan bot, operasi juga akan dilakukan di daratan dalam radius sama.
Kosmo! semalam melaporkan Shukri dikhuatiri lemas selepas kenderaan pelbagai guna, Toyota Hilux dinaikinya bersama isterinya, Azizah Mohamad Yusof, 51, hilang kawalan lalu terjunam ke dalam Sungai Keluang Besar sewaktu melalui Jambatan Tembila.
Azizah terselamat apabila sempat berpaut pada sebatang pokok di tebing sungai namun peniaga itu masih gagal ditemui walaupun kenderaan Toyota Hilux berjaya dinaikkan dengan menggunakan kren pada pukul 6.25 petang semalam. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment