Oleh MOHD AZLI ADLAN
KEMAMAN – Sekumpulan pemajak telur penyu berasa sebak apabila menjumpai bangkai seekor anak penyu agar di Pantai Kijal di sini hari ini.
Bangkai anak penyu agar berusia dua tahun yang dipercayai mati akibat terkena pukat itu ditemui pada pukul 7.30 pagi.
Kematian terbaharu ini menjadikan setakat ini, sebanyak 13 ekor penyu telah mati di perairan Terengganu sejak awal tahun ini.
Roslan Muhammad, 54, berkata, bangkai anak penyu itu ditemui anaknya, Muhammad Aqil, 24, semasa memantau kawasan pajakannya.
“Bangkai anak penyu itu ditemui di celah-celah batu di kawasan tanjung di pantai ini.
“Berdasarkan kesan luka pada bahagian badannya, saya percaya anak penyu ini mati akibat terkena pukat,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Roslan berkata, penemuan bangkai penyu tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment