Translate

Monday, February 21, 2022

Kenderaan Toyota Hilux berjaya dinaikkan, mangsa belum ditemui

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dinaiki peniaga yang terjunam ke dalam Sungai Keluang Besar berjaya dinaikkan sebentar tadi.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Besut, Mohamad Jusoh berkata, kenderaan dinaiki Shukri Wahab, 52, itu berjaya dinaikkan dengan bantuan kren pada pukul 6.25 petang.

Beliau berkata, bagaimanapun pemeriksaan mendapati jasad peniaga yang berasal dari Tawang, Bachok tersebut tidak ditemui di dalam kenderaan berkenaan.

“Terdahulu, kenderaan Toyota Hilux tersebut dijumpai di dasar sungai sedalam kira-kira empat meter pada pukul 5.15 petang.

“Jarak kenderaan itu ditemui dari lokasi kemalangan iaitu Jambatan Tembila dianggarkan kira-kira 10 meter,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di Tembila di sini hari ini.

Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa akan diteruskan menerusi teknik pencarian di permukaan.

Tambah beliau, pasukan mencari dan menyelamat tidak menolak untuk memperluas jarak pencarian sekiranya lelaki itu masih belum ditemui esok.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang peniaga dikhuatiri lemas selepas kenderaan Toyota Hilux dinaikinya bersama isterinya, Azizah Mohamad Yusof, 51, hilang kawalan lalu terjunam ke dalam sungai.

Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, pasangan suami isteri itu dikatakan dalam perjalanan mengambil stok keropok di Kuala Terengganu dari rumah mereka di Tawang, Bachok.

Isteri mangsa, Azizah yang berada di tempat duduk penumpang hadapan terselamat selepas tersangkut pada sebatang pokok terletak di tebing sungai kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE


No comments:

Post a Comment