Translate

Tuesday, February 8, 2022

Empat bot nelayan Vietnam dilupus jadi tukun tiruan

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Empat bot nelayan Vietnam yang ditahan kerana mencerobohi perairan negara sebelum ini telah ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di perairan Pulau Redang di sini hari ini.

Tindakan melupuskan bot nelayan asing itu menunjukkan ketegasan Maritim Malaysia (APMM) menangani pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua bot nelayan asing itu sebelum ini telah dilucut hak oleh mahkamah pada tahun lalu.

“Penghakiman mahkamah sebelum ini turut memerintahkan semua tekong dan awak-awak empat bot itu didenda RM6.58 juta.

“Sebelum itu, kesemua 40 nelayan Vietnam yang merupakan kru empat bot berkenaan telah ditahan kerana memasuki perairan negara tanpa kebenaran,” katanya selepas menyaksikan upacara penenggelaman bot tersebut di perairan Pulau Redang di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, empat bot nelayan itu telah dilucut hak mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16(3) akta sama.

Beliau berkata, selain empat bot nelayan berkenaan, sebanyak 51 bot lagi menanti untuk ditenggelamkan sebagai tukun tiruan.

“Kesemua bot itu kini ditempatkan di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Negeri Terengganu, PTV Zon Maritim Kemaman dan PTV Bukit Datu,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment