Translate

Sunday, February 6, 2022

Bekalan ayam, telur dijamin kembali stabil hujung Februari

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kerajaan memberi jaminan masalah kekurangan ayam standard dan telur ayam yang meruncing di pasaran pada masa ini akan dapat diatasi sepenuhnya menjelang akhir bulan ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, berdasarkan hasil pertemuan baru-baru ini, pengeluar memaklumkan bekalan kedua-dua bahan mentah itu akan stabil semula pada minggu terakhir bulan ini.

Beliau berkata, pengeluaran telur ayam hanya mencapai 91 peratus daripada keperluan 30 juta biji sehari manakala bekalan ayam standard pula kekurangan tiga juta ekor sepanjang bulan lalu.

“Antara faktor kekurangan bekalan ialah permintaan mendadak dan masalah logistik ekoran cuti perayaan Tahun Baharu Cina serta kekurangan tenaga buruh.

“Begitu pun syarikat pengeluar terbabit memberi jaminan bekalan ayam standard dan telur ayam akan kembali stabil pada minggu akhir bulan ini,” katanya ketika memantau program Jualan Keluarga Malaysia peringkat Hulu Terengganu di Dataran Kuala Ping di sini hari ini.

Rosol berkata, mengambil pengajaran daripada isu terbabit, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengarahkan semua syarikat pengeluar ayam standard dan telur ayam tempatan mengemukakan stok bekalan masing-masing secara mingguan.

Jelas Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu lagi, ketetapan baharu terbabit memudahkan kerajaan merangka pelan penyelesaian pantas sekiranya berlaku lagi masalah kekurangan bekalan pada masa depan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment