Translate

Sunday, February 13, 2022

JKDM terima peralatan kamera badan Jun ini

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pemakaian kamera badan dalam kalangan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka boleh dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, perolehan bagi peralatan yang bertujuan meningkatkan integriti anggota jabatan tersebut bakal diterima pada bulan Jun depan.

“Pemakaian peralatan kamera badan berkenaan akan dilakukan secara berperingkat dan pada fasa pertama ini, ia dijangka melibatkan lebih 100 anggota penguat kuasa.

“Selain itu, anggota JKDM yang bertugas sebagai frontliner (barisan hadapan), contohnya di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan stesen-stesen di sempadan (negara) juga akan memakai peralatan terbabit,” katanya ketika ditemui pada program Jalinan Mesra Kastam di Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas di sini hari ini.

Kosmo! 23 Julai 2020 melaporkan kerajaan pada tahun 2019 bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti kastam, polis dan imigresen bagi menangani kes salah laku termasuk rasuah.

Cadangan penggunaan kamera badan itu dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas termasuk memukul orang yang disiasat.

Penggunaan kamera badan bukan perkara baharu dalam kalangan pasukan penguat kuasa kerana telah dilaksanakan di negara-negara maju antaranya Australia dan Amerika Syarikat. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment