Translate

Saturday, February 5, 2022

Pengguna serbu program KPDNHEP cari telur ayam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Telur ayam menjadi produk paling dicari pengguna dan laris dijual pada penganjuran Jualan Keluarga Malaysia peringkat Hulu Terengganu di Dataran Kuala Ping, di sini hari ini.

Sebanyak 100 papan telur gred C yang disediakan operator program tersebut habis dibeli pengguna dalam tempoh tidak sampai 30 minit selepas kaunter jualan dibuka pada pukul 8 pagi.

Seorang pengguna, Isa Wahab, 65, berkata, dia menghadapi masalah mendapatkan bekalan telur ayam sehingga menjejaskan perniagaan roti canainya sejak dua minggu lalu.

Dia berkata, bekalan telur sangat terhad sehingga memaksanya berkunjung ke banyak pasar raya dan kedai runcit sehingga ke pekan Kuala Berang di sini untuk mencari bahan mentah itu.

“Banyak hari juga saya terpaksa menghentikan penjualan roti telur selain terpaksa mengadun doh roti canai tanpa telur mengikut resipi tradisional peniaga India.

“Saya terus tergegas apabila mengetahui penganjuran program Jualan Keluarga Malaysia hari ini tidak jauh dari gerai. Itupun hanya dibenarkan membeli dua papan telur ayam gred C,” katanya kepada Kosmo! di Dataran Kuala Ping di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Nirwana (Kuala Berang) Sdn. Bhd., Mohammad Ridzwan Abdullah berkata, pasar raya sebagai operator diamanahkan cuma mampu membekalkan 100 papan telur bagi pogram Jualan Keluarga Malaysia terbabit.

Tambah beliau, pasar rayanya juga menghadapi masalah dengan syarikat pembekal telur ayam sejak dua minggu lalu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment