Translate

Monday, February 7, 2022

Kuala Terengganu Bypass dijangka siap April

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu atau Kuala Terengganu Bypass dijangka siap sepenuhnya pada April depan sekali gus dapat mula beroperasi menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia lima bulan awal daripada jadual asal iaitu bulan September depan.

“Pihak kontraktor terlibat memberi jaminan projek Kuala Terengganu Bypass ini boleh disiapkan lebih awal pada bulan April ini.

“Setakat ini, status kemajuannya sudah mencapai kira-kira 92 peratus iaitu awal 18 hari daripada jadual asal,” katanya selepas meninjau perkembangan projek berkenaan di sini hari ini.

Fadillah berkata, Kuala Terengganu Bypass merupakan laluan empat lorong yang menghubungkan antara Chendering hingga Durian Burung di sini sejauh kira-kira 5.9 kilometer.

Beliau berkata, projek yang menelan belanja RM220 juta tersebut dapat menjimatkan perjalanan kira-kira 30 minit khususnya bagi pengguna ke Kuantan, Pahang dan Kota Bahru, Kelantan.

“Projek yang bermula tahun 2006 itu lewat disiapkan sebelum ini ekoran beberapa isu teknikal seperti pengambilan tanah dan penyesuaian reka bentuk.

“Saya difahamkan kerajaan negeri berhasrat membina satu lagi persimpangan keluar ke bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Terengganu (berhampiran Wakaf Beruas di sini) yang bukan sebahagian daripada pakej Kuala Terengganu Bypass,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment