Translate

Monday, February 14, 2022

Aksi pramusim dicemari pergaduhan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

TERENGGANU FC (TFC) kesal dengan insiden pergaduhan yang mencemari aksi pramusim, TFC II menentang Penang FC bagi merebut Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh berkata, berdasarkan maklumat pegawai bertugas dan video rakaman perlawanan, insiden disebabkan rasa tidak puas hati pemain Penang FC sewaktu pemain TFC II meraikan kejayaan penjaga golnya menafikan tendangan penalti pasukan lawan.

Sebelum tendangan penalti diambil kapten Penang, Endrick Dos Santos itu pada masa tambahan separuh masa pertama, TFC II sedang mendahului perlawanan dengan keputusan 1-0.

“Pemain Penang FC telah menumbuk dan melakukan terjahan keras terhadap beberapa pemain TFC II yang menyebabkan berlaku tindak balas.

“Situasi tersebut berjaya dikawal tidak lama kemudian, namun seorang pemain Penang FC, Muhammad Adib Abdul Raop telah ditumbuk pada bahagian hidung,” katanya dalam satu ke­nyataan di Kuala Terengganu semalam.

Ab. Rasid berkata, TFC memandang berat insiden itu dan akan memanggil semua pemain dan pegawai TFC II terlibat untuk penjelasan penuh dalam masa terdekat.

Beliau berkata, salah seorang pemain TFC II iaitu Mohd. Ridzuan Razali juga telah dikenakan hukuman layangan kad merah oleh pengadil perlawanan, Mohd. Amirul Aizat Mat Lodin atas kekasaran dilakukan terhadap Muhammad Adib.

“Kami juga telah memohon maaf kepada pengurusan Penang FC berhubung insiden tersebut.

“Oleh kerana pasukan itu enggan meneruskan perlawanan pada separuh masa kedua, kita telah memastikan kawalan ke­selamatan kepulangan mereka di hotel penginapan selepas itu,” katanya.

Ab. Rasid berharap insiden itu menjadi pengajaran menjelang bermulanya musim baharu 2022 dan tidak diulangi pada masa depan.

Insiden memalukan tersebut berlaku di hadapan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Dalam pada itu, Mohd. ­Amirul Aizat mengisytiharkan TFC II memenangi aksi itu dengan keputusan 3-0 berikutan keengganan Penang FC meneruskan perlawanan.

Keputusan tersebut sekali gus menjulang TFC II sebagai pemenang Piala Menteri Besar Terengganu dengan kejohanan pramusim turut melibatkan TFC dan Sri Pahang.

No comments:

Post a Comment