Translate

Monday, February 14, 2022

Pemandu lori maut kemalangan

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta Proton Preve di Kilometer 75 Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim, Permaisuri di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa, Wan Ahmad Husaini Wan Husain, 27, mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan manakala pemandu Proton Preve yang berusia 18 tahun pula cedera ringan di bahagian tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Afandi Hussin berkata, Wan Ahmad Husaini meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Setiu di sini pada pukul 8.30 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati kereta Proton Preve yang dipandu peniaga berasal dari Kampung Guntong Dalam di sini telah bertembung dengan kenderaan Perodua Alza yang dipandu mangsa.

“Impak rempuhan itu menyebabkan kenderaan Perodua Alza dipandu mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Pelong di sini remuk teruk di bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Afandi berkata, Wan Ahmad Husaini yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Setiu sebelum menghembuskan nafas terakhir setelah kira-kira empat setengah jam menerima rawatan.

Beliau berkata, mayat lelaki itu telah dihantar ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment