Translate

Sunday, February 6, 2022

Ghairah cari ikan sampai ceroboh pelantar minyak

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kebenaran rentas negeri sejak pertengahan Oktober lalu telah membuka jalan kepada peman­cing seluruh negara kembali ke Terengganu untuk merasai kenikmatan memancing di laut dalam di perairan negeri itu.

Segelintir mereka begitu ghairah melepaskan gian sehingga sanggup menceroboh kawasan pelantar minyak di sekitar perairan Terengganu yang dipercayai lubuk ikan biar pun menyalahi undang-undang.

Tambah mengeruhkan kea­daan, sebahagian pengusaha seakan-akan cuba mengambil kesempatan menganjurkan pakej memancing ke kawasan pelantar minyak itu biarpun melanggar undang-undang dan membaha­ya­kan nyawa pemancing.

Kes pencerobohan kawasan pelantar minyak oleh kumpulan pemancing dikesan Ma­ritim Malaysia (APMM) terutama sejak pembukaan sempadan negeri.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kawasan 500 meter radius dari pelantar minyak telah diwartakan sebagai kawasan larangan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Jelas beliau, mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

“Perairan Terengganu mempunyai kira-kira 53 pelantar minyak. Pemerhatian kita mendapati tiga pelantar yang sering diceroboh kumpulan pemancing ialah Pelantar Desaru, Pelantar Bekok dan Pelantar Pulai.

“Kesemua pelantar tersebut terletak pada kedudukan 80 hingga 140 batu nautika dari pantai Terengganu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.


Muhammad Suffi menjelaskan, larangan tersebut disebabkan perbuatan itu dibimbangi akan membahayakan keselamatan dan nyawa pemancing mahu pun pekerja pelantar minyak.

Jelasnya, kerja-kerja cari gali minyak di luar pesisir pantai merupakan aktiviti berisiko tinggi dan berbahaya.

“Tahap keselamatan terhadap pelantar minyak perlu dititik berat kerana sebarang kesilapan boleh mengundang padah apatah lagi ia merupakan aset negara yang memberi pendapatan tinggi kepada ekonomi.

“Lagipun kita bimbang mereka terserempak dengan ancaman nelayan Vietnam yang kadang-kala memiliki senjata api,” katanya.

Muhammad Suffi berkata, APMM sentiasa menjalin kerjasama dengan syarikat pengendali pelantar minyak terbabit untuk menangani isu pencerobohan terbabit.

Beliau berkata, walaupun pencerobohan kawasan pelantar minyak di perairan Terengganu tidak seteruk yang berlaku di perairan Malaysia Timur tetapi APMM tetap mengambil serius.

“Setakat ini kita telah menghalau hampir 10 bot yang membawa kumpulan pemancing yang memasuki kawasan larangan. Sebolehnya kami masih mahu berdiplomasi tetapi kalau ada yang berdegil, tindakan tegas seperti dilakukan terhadap nelayan asing akan diambil,” ­katanya.-K! ONLINE

No comments:

Post a Comment