Translate

Monday, February 21, 2022

Mayat peniaga jatuh sungai ditemui tersangkut pukat

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Penantian lebih 36 jam mencari seorang peniaga yang terjunam ke dalam Sungai Keluang Besar di sini semalam berakhir apabila mayatnya berjaya ditemui sebentar tadi.

Mayat Shukri Wahab, 52, ditemui tersangkut pada pukat yang dipasang berhampiran alur sungai berhampiran Kuala Tembila pada pukul 6.09 petang.

Difahamkan, pukat itu dipasang seorang nelayan tempatan pada pagi tadi bertujuan membantu proses operasi pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, mayat mangsa telah dijumpai nelayan terbabit yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat.

“Kedudukan penemuan mayat mangsa dari lokasi kemalangan di Jambatan Tembila kira-kira enam kilometer.

“Mayat yang dibawa naik di tebing sungai dengan menggunakan bot pada 6.40 petang sebelum pengecaman dilakukan ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Muhammad Basri berkata, mayat Shukri kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk dibedah siasat.

Kosmo! semalam melaporkan Shukri dikhuatiri lemas selepas kenderaan pelbagai guna, Toyota Hilux dinaikinya bersama isterinya, Azizah hilang kawalan lalu terjunam ke dalam Sungai Keluang Besar sewaktu melalui Jambatan Tembila.

Azizah terselamat apabila sempat berpaut pada sebatang pokok di tebing sungai sebelum kenderaan Toyota Hilux dinaiki mereka berjaya dinaikkan dengan menggunakan kren pada pukul 6.25 petang semalam.- KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment