Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Seorang peniaga keropok dikhuatiri lemas selepas kenderaan pelbagai guna, Toyota Hilux dinaikinya hilang kawalan lalu terjunam ke dalam Sungai Keluang Besar sewaktu melalui Jambatan Tembila di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, mangsa, Shukri Wahab, 52, yang ditemani isterinya, Azizah Mohamad Yusof, 51, dikatakan dalam perjalanan mengambil stok keropok di Kuala Terengganu dari rumah mereka di Tawang, Bachok, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki pasangan suami isteri itu hilang kawalan sewaktu tiba di lokasi kejadian.
“Kenderaan itu kemudiannya dikatakan merempuh penghadang besi sebelum terjunam ke dalam sungai.
“Isteri mangsa (Azizah) yang berada di tempat duduk penumpang hadapan berjaya diselamatkan namun pemandunya (Shukri) masih belum ditemui,” katanya di sini hari ini.
Rozak berkata, Azizah yang cedera ringan telah dihantar ke Hospital Besut di sini untuk menerima rawatan.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dianggotai pelbagai agensi dan penduduk kampung berdepan cabaran arus deras sungai berikutan hujan lebat semalam. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment