Translate

Sunday, February 20, 2022

‘Harapan ayah jadi wali tidak kesampaian’

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Harapan seorang bakal pengantin  agar bapanya, Shukri Wahab yang dikhuatiri lemas di Sungai Keluang Besar di sini kelmarin, ditemui dalam keadaan selamat tidak kesampaian.

Shukri, 52, yang juga peniaga keropok ditemui tersangkut pada pukat yang dipasang berhampiran alur sungai berhampiran Kuala Tembila pada pukul 6.09 petang.

Mayat mangsa lemas selepas sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux yang dipandunya hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam sungai tersebut ketika melalui Jamba­tan Tembila ditemui selepas 36 jam hilang.

Farah Hanani, 24, berkata, dia akan disatukan dengan pasangannya pada 4 Mac ini manakala adik bongsunya, Farhana Hatikah, 21, dijadualkan me­langsungkan perkahwinan pada 15 Mac depan.

Katanya, kemalangan itu berlaku sewaktu bapanya yang ditemani ibu tiri, Azizah Mohamad Yusof, 51, dalam perjalanan ke Kuala Terengganu untuk mengambil stok keropok.

“Mereka juga bercadang mahu menjemput sanak saudara kami yang kebanyakannya menetap di Kuala Ibai (Kuala Terengganu) untuk menghadiri majlis perkahwinan saya dan adik.

“Ayah janji hendak balik awal (ke Bachok) dan mahu saya menemaninya selepas itu untuk membeli baju kurta yang mahu dipakainya pada hari kenduri perkahwinan saya nanti,” kata­nya ketika ditemui di lokasi kejadian di Tembila di sini semalam.

Farah Hanani memberitahu, bapanya amat teruja dan memberitahu mahu menggayakan baju kurta berwarna coklat pada majlis pernikahannya yang me­rupakan anak sulung daripada dua beradik.

“Majlis perkahwinan saya dan adik pasti tidak akan sama tanpa ayah,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, mayat mangsa telah dijumpai nelayan terbabit yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat.

“Kedudukan penemuan mayat mangsa dari lokasi kemalangan di Jambatan Tembila kira-kira enam kilometer.

“Mayat yang dibawa naik di tebing sungai dengan menggunakan bot pada 6.40 petang sebelum pengecaman dilakukan ahli keluarga,” katanya.

Muhammad Basri berkata, mayat Shukri kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk dibedah siasat.

Kosmo! kelmarin melaporkan Shukri dikhuatiri lemas selepas Toyota Hilux dinaiki bersama isterinya terjunam ke dalam Su­ngai Keluang Besar.

Azizah terselamat apabila sempat berpaut pada sebatang pokok di tebing sungai, namun peniaga itu masih gagal ditemui walaupun kenderaan itu berjaya dinaikkan dengan menggunakan kren pukul 6.25 petang kelmarin.

No comments:

Post a Comment