Translate

Sunday, February 13, 2022

Covid-19: Garis panduan pengoperasi pejabat kerajaan diteliti

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk mengetatkan semula garis panduan pengoperasian pejabat kerajaan melibatkan kehadiran, kaunter perkhidmatan dan mesyuarat berikutan peningkatan mendadak kes harian Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, beliau akan memutuskan perkara tersebut mengikut garis panduan termasuk Bekerja di Rumah (BDR) telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.

“Kita akan teliti dan bincang dalam jawatankuasa di peringkat Menteri. Kalau itu (ketatkan operasi pejabat kerajaan) diputuskan, kita akur tetapi setakat ini tiada perbincangan ke arah itu.

“Begitupun jawatankuasa tersebut (baru-baru ini) telah memberi ingatan agar kita (penjawat awam) berhati-hati dan waspada berikutan peningkatan kes (Covid-19),” katanya selepas merasmikan program Jalinan Mesra Kastam di Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas di sini hari ini.

Beliau mengulas peningkatan kes harian Covid-19 yang kini kembali mencecah lebih 20,000 selain kadar kebolehjangkitan negara pada kelmarin mencatatkan nilai Rt 1.51.

Mohd. Zuki berkata, setakat ini, seramai 1.4 juta penjawat awam negara ini diminta berkhidmat seperti biasa mengikut garis panduan yang sedang digunapakai.

Tambah beliau, mustahak bagi semua kakitangan kerajaan itu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ditetapkan dan mengikut arahan diberikan pihak berwajib. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment