Translate

Sunday, February 13, 2022

Kemajuan projek ECRL kini 27.19 peratus

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubung negeri-negeri Pantai Timur sepanjang 665 kilometer kini sudah mencapai kemajuan sebanyak 27.19 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, walaupun berlaku sedikit kelewatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, jajaran Seksyen A hingga C1 merangkumi Kelantan hingga Selangor optimis dapat disiapkan pada Disember 2026.

“Kita mengalami sedikit kelewatan (projek ECRL) tetapi boleh ‘kejar’ balik, secara keseluruhannya kita boleh capai kemajuan lebih baik pada tahun ini.

“Jajaran Kelantan, Terengganu hingga Pahang dan Selangor iaitu Seksyen A, B dan C1 bakal beroperasi pada 1 Januari 2027,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Jalinan Kasih Kastam di Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas di sini hari ini.

Darwis berkata, peningkatan kes harian Covid-19 sejak akhir-akhir ini tidak akan mengganggu kelancaran projek ECRL memandangkan pihaknya sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ditetapkan secara ketat.

Tambah beliau, perkembangan semasa itu juga dilihat tidak akan menjejaskan kos pembinaan ECRL yang kekal RM50.272 bilion seperti dipersetujui kerajaan sebelum ini.

“Proses pengambilan tanah juga sedang berjalan lancar dan dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung tahun 2023. Kebanyakan di kawasan jajaran utama, (pengambilan tanah) telah selesai.

“Begitupun sebahagian lagi masih dalam proses pendengaran perbicaraan tanah (berhubung rundingan pampasan),” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment