Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Seorang wanita sebak menerima skrol Ijazah Sarjana Perniagaan dan Pengurusan secara anumerta Allahyarham suaminya pada majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-12 hari ini.
Nor Idayu Abdul Wahab, 32, berkata, suaminya, Mohd. Uzir Mohamed meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 35 tahun pada 18 Ogos tahun lalu.
Dia berkata, pemergian suaminya yang dikahwininya pada tahun 2018 amat mengejutkan kerana bukan sahaja tidak menunjukkan simptom-simptom masalah jantung sebelum ini malah ‘pergi’ pada hari ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga.
“Sekiranya arwah suami (Mohd. Uzir) masih ada, sudah pasti dia gembira menggenggam ijazah sarjana hari ini.
“Saya dapat melihat kesungguhan dia belajar bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian mengikut tempoh masa pada tahun 2020,” katanya ketika ditemui pada majlis Konvokesyen UniSZA ke-12 di sini hari ini.
Nor Idayu berkata, memang niat arwah suaminya yang merupakan kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu untuk menyambung belajar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) sebelum berusia 40 tahun namun tidak kesampaian.
Ujarnya, dia amat sebak mewakili arwah suami menerima skrol sijil ijazah sarjana tersebut.
“Walaupun berat hati, saya hadir juga (ke majlis konvokesyen) demi menunaikan amanah terakhir arwah suami,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment