Translate

Thursday, March 19, 2026

‘Nilai tak besar tapi sangat membantu’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN, AZAHAR HASHIM dan MUHAMMAD ZIKRI

KULIM – Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang disalurkan secara berperingkat bermula kelmarin ternyata memberi ke­legaan kepada golongan berpendapatan rendah dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. 

Seorang penerima, Muhammad Al-Iman Abdullah, 26, yang merupakan pekerja kilang berkata, bantuan tersebut amat bermakna kerana dapat membantu menampung sebahagian perbelanjaan dapur menjelang musim perayaan. 

Menurutnya, wang STR yang diterima akan digunakan untuk membeli bahan mentah bagi menyediakan juadah raya seperti daging segar, ayam serta bahan memasak lain termasuk untuk ermasuk untuk menyediakan hidangan seperti nasi tomato.

 “Walaupun jumlahnya tidak terlalu besar tetapi bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit perbelanjaan dapur terutama ketika membuat persiapan raya. “Sekarang harga barang agak tinggi, jadi duit STR ini memang membantu untuk membeli bahan mentah bagi masak juadah raya bersama keluarga,” katanya ketika kepada Kosmo! semalam. 

Katanya, bantuan berkenaan amat dihargai kerana ia sedikit sebanyak membantu golongan pekerja seperti dirinya membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang. 

Di Pontian, seorang ibu tunggal, Yuhanis Mohd. Yusoff, 46, berkata, STR yang diterima diutamakan bagi perbelanjaan harian seperti makan dan minum selain untuk lima anaknya yang masih bersekolah rendah dan menengah.

 Katanya, memandangkan bulan puasa ini dia tidak dapat menjalankan perniagaan menjual nasi lemak, penerimaan STR digunakan bagi menampung perbelanjaan asas berbanding untuk kegunaan hari raya. 

“Duit RM400 yang diterima digunakan untuk perbelanjaan harian dahulu, soal kuih-muih, pakaian raya dan sebagainya, saya ketepikan dahulu,” ujarnya yang baru kehilangan suami dua bulan lalu. 

Tambah Yuhanis, pendapatan daripada penjualan nasi lemak pula bergantung pada jualan harian dengan memperolehi kira-kira RM1,000 sebulan, namun bulan ini tiada pendapatan dapat diterima. 

“Saya juga menerima bantuan untuk ibu tunggal daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) baru-baru ini juga akan digunakan untuk menampung perbelanjaan seharian,” ujarnya yang tinggal di Rumah Pangsa Taman Megah di Pontian. 

Di Kuala Terengganu, seorang penjaja makanan, Esan Mustaffa Muda, 47, berkata, bagi STR kali ini dia menerima RM450 dan bantuan tunai itu amat bererti buat keluarganya menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada hujung minggu depan. 

“Duit RM450 itu amat besar nilai buat saya lima beranak. Sebahagiannya akan digunakan untuk membeli bahan mentah untuk memasak hidangan pagi raya seperti nasi dagang.

 “Lebihan jika ada pula akan digunakan sebagai belanja harian memandangkan gerai kami akan ditutup lama sedikit sepanjang musim perayaan Aidilfitri nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam. 

Esan Mustaffa memuji kebijaksanaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengkreditkan STR pada masa sesuai dengan keperluan rakyat. 

Katanya, fasa satu STR sebelum ini diberi sewaktu sesi persekolahan baharu dibuka pada bulan Januari lalu dan fasa dua STR pula sempena sambutan Aidilfitri. 

Sara (Sumbang Asas Rahmah) RM100 one-off (sekali bayar) diterima pada awal Ramadan. “Pendekatan ini amat membantu rakyat sewaktu keperluan berbelanja meningkat ketika pemberian dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment