Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam direman selama enam hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah RM6,000 sebagai balasan membawa masuk bahan terlarang untuk penghuni sebuah pusat pemulihan dadah di negeri ini.
Perintah reman terhadap wanita berusia 30-an tersebut dibenarkan oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, wanita terbabit ditahan bersama rakan sekerja lelakinya sewaktu tampil memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu di sini pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Beliau berkata, begitupun suspek lelaki berusia 40-an tersebut telah dilepaskan dengan jaminan SPRM semalam atas faktor kesihatan.
“Siasatan awal mengesyaki kedua-dua suspek melakukan perbuatan tersebut secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025.
“Mereka didakwa meminta dan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan tersebut menerusi transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing dan pihak ketiga,” katanya.
Sumber SPRM berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menggunakan modus operandi membawa masuk barangan terlarang berkenaan menerusi pembekalan makanan tengah hari.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid yang dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment