Translate

Saturday, March 28, 2026

Panas melampau

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penduduk terutama di kawasan utara Semenanjung dijangka me­nyambut perayaan Aidilfitri dalam keadaan panas terik untuk tempoh yang lebih lama apabila cuaca itu berlarutan sehingga Sabtu ini. 

Fenomena panas dan kering di seluruh Perlis dan beberapa kawasan di Kedah sehingga 8 Sya­wal ini mencetuskan kebimba­ngan dalam kalangan orang ramai berhubung bekalan air yang boleh menjejaskan kehidupan harian penduduk terutama pada musim perayaan besar ketika ini. 

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Chung Jing  Xiang berkata, cuaca kering itu berlaku disebabkan pertembungan penghujung Monsun Timur Laut (MTL) dan fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO). 

“Ketika ini negara kita berada pada fasa peralihan MTL ke Monsun Barat Daya yang membawa cuaca lebih panas dan kering. 

“Fenomena MJO pula meningkatkan keadaan kering di atmosfera sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan,” katanya kepada Kosmo! semalam. 

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, proses penyejukan menerusi penyejatan akan berkurangan sekali gus menjadi pemangkin cetusan gelombang haba terutama di utara tanah air. 

Katanya, berdasarkan ramalan agensi antarabangsa seperti National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), cuaca panas ini dijangka berlarutan sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini. 

“Bagaimanapun cuaca ini dilaporkan sementara, paling lama dalam dua minggu,” katanya.

 Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua dalam tempoh tiga hari berturut-turut. Kebanyakan kawasan terjejas di Kedah dan Perlis. Kesemua kawasan diramal mencatat suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius.

 Sementara itu, MetMalaysia berkata, tiga kawasan di Kedah berada pada Tahap 2 (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. Kawasan terlibat ialah Pendang, Padang Terap dan Baling mengikut kemas kini setakat pukul 4 petang semalam. 

Sebanyak 15 kawasan lain pula berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) dengan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius. 

Ia melibatkan seluruh Perlis serta beberapa daerah di Kedah iaitu Sik, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu. 

Turut terkesan kawasan Timur Laut dan utara Pulau Pinang, Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar (Perak) dan Kuala Lumpur. 

Orang ramai dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya dan sentiasa peka terhadap perkembangan semasa cuaca bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas melampau. 

Di Kuching, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) giat memantau bekalan air di seluruh negara susulan cuaca panas dan peralihan monsun yang berpotensi mencetuskan keadaan kering serta kemarau di beberapa kawasan. 

Petra dan syarikat bekalan air negeri memantau secara rapi paras takungan dan keupayaan sistem agihan bagi memastikan bekalan air kekal mencukupi. 

“Setakat ini, paras takungan air masih terkawal. Langkah kesiapsiagaan turut dipertingkat termasuk penyediaan lori tangki dan tangki air statik untuk disalurkan segera ke kawasan yang berdepan gangguan bekalan. 

“Rakyat disaran menggunakan air secara berjimat-cermat bagi memastikan bekalan sedia ada mencukupi sepanjang tempoh cuaca panas ini,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment