Translate

Tuesday, March 31, 2026

Isu guru duka lara diatasi

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited mengatasi isu guru duka lara dengan membuka permohonan pertukaran guru sepanjang tahun. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan KPM bagi menangani isu tersebut.

“Permohonan (penukaran guru) kita buka sepanjang tahun, tetapi penukaran itu mesti berlaku sewaktu cuti sekolah. 

“Tertinggi kita tangani (penukaran guru) ialah pasangan jarak jauh. Kita juga beri keutamaan terhadap alasan keselamatan dan kesihatan,” katanya di Institut Perdidikan Guru (IPG) Dato’ Razali Ismail di sini semalam. 

Terdahulu beliau ditemui pada majlis Ramah Mesra bersama para pelajar IPG berkenaan. 

Fadhlina berkata, penukaran guru hanya boleh berlaku pada musim cuti persekolahan supaya tidak mengganggu pembelajaran dan pengajaran murid dan pelajar sekolah terlibat. 

Beliau berkata, kelulusan penukaran guru tersebut turut mengambil kira keperluan dan kesan terhadap profesionalisme perguruan dan sistem pendidikan negara. 

“Tidak benar (KPM lambat menangani permohonan guru duka lara), semua permohonan perlu mengikut proses ditetapkan,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, usaha KPM dengan bantuan pemegang taruh termasuk IPG untuk mengatasi isu kekurangan guru dilihat semakin membuahkan hasil. 

Beliau berkata, unjuran yang dibuat mendapati isu kekurangan guru telah diselesaikan dengan sangat baik mengikut keperluan semasa. 

“Kita tidak pernah memandang ringan isu kekurangan guru kerana ia aspek penting dalam pendidikan.

 “Setakat ini, semua pengisian (kekosongan guru) berlangsung dengan sangat baik, unjuran dibuat telah menampakkan hasil,” katanya.

No comments:

Post a Comment