Oleh MOHD AZLI ADLAN
ALIRAN trafik lebuh raya dan jalan utama seluruh negara dijangka sesak dengan kebanjiran lebih 2.3 juta kenderaan sehari sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Ia melibatkan sebahagian besar 24 juta kenderaan yang didaftarkan aktif termasuk lebih tiga juta daripadanya berusia lebih 15 tahun.
Sesuatu yang pasti, peningkatan aliran trafik pada musim perayaan ini sudah pastinya akan meningkatkan risiko kemalangan.
Ia dibuktikan pada Op Selamat 24 sempena musim Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, sebanyak 9,859 kes kemalangan dengan 85 kematian telah direkodkan dalam tempoh enam hari pelaksanaannya.
Selain motosikal dan kenderaan berat, kereta berusia yang tidak berada dalam keadaan baik juga antara penyumbang kemalangan.
Kajian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan kenderaan lama terutama berusia 20 tahun ke atas berisiko mengalami kegagalan brek, sistem stereng dan tayar haus yang sering menjadi punca nahas.
Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Inovasi Universiti Taylor, Prof. Madya Ir. Rifqi Irzuan Abdul Jalal mencadangkan solusi praktikal tetapi mungkin kurang popular bagi mengurangkan risiko kemalangan tersebut.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Jurutera Automotif Malaysia itu menyarankan pemilik kereta berusia dan berada dalam kondisi kurang selamat agar beralih kepada kenderaan baharu.
“Diakui pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun lazimnya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
“Bagi mereka, mengekalkan kereta lama itu bukan pilihan tetapi lebih kepada keperluan. “Namun percayalah, membeli kenderaan baharu lebih menguntungkan,” katanya.
Rifqi Irzuan berkata, rata-rata pemilik kenderaan lama tidak mahu menukar baharu kerana enggan terikat lagi dengan ansuran pembiayaan selain kos insurans kenderaan yang lebih mahal.
“Menyimpan kenderaan berusia tidak semestinya lebih menjimatkan kerana ia mempunyai kos operasi tersembunyi tersendiri.
“Enjin lama kebiasaannya akan mengalami penurunan kecekapan, sekali gus cenderung menggunakan lebih banyak bahan api,” ujarnya.
Rifqi Irzuan berkata, sesetengah enjin kereta lama turut memerlukan penambahan minyak enjin secara berkala, sekali gus meningkatkan lagi tempoh penyelenggaraan.
Menurutnya, komponen kereta berusia juga berisiko lebih kerap rosak dan meningkatkan kos pembaikan luar jangka selain tidak dilengkap ciri-ciri keselamatan automotif terkini.
“Ketersediaan alat ganti mungkin semakin berkurangan dari semasa ke semasa sekaligus menjadikan kerjakerja penyelenggaraan dan pembaikan semakin sukar secara teknikal. “Perbelanjaan baik pulih dan selenggara yang berulang ini menjadikan pemilikan kereta lama mungkin tidak lagi berbaloi,” katanya.
Sehubungan itu, Rifqi Irzuan berkata, membeli kenderaan baharu dilihat pilihan lebih baik dalam menstabilkan perbelanjaan isi rumah.
Beliau berkata, kereta baharu biasanya memiliki kecekapan penggunaan bahan api lebih baik dan kebarangkalian mengalami kerosakan juga lebih rendah.
“Saya juga saran pemilik kereta lama agar memanfaatkan geran padanan menukar kenderaan baharu sehingga RM4,000,” katanya.

No comments:
Post a Comment