KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang peniaga sayur menggadai barang kemas untuk meraih keuntungan pelaburan berkali ganda berputih mata apabila kerugian RM214,700 setelah dia terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Wanita berusia 54 tahun yang berniaga di sebuah pasar di sini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pukul 7.24 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, peniaga wanita itu tertarik dengan skim pelaburan tersebut yang dilihatnya di laman Facebook.
“Mangsa kemudiannya menekan pautan diberikan sebelum diminta menghubungi seorang wanita yang mengaku kononnya ketua pelaburan skim berkenaan.
“Dia diyakinkan kononnya skim pelaburan tersebut mampu menawarkan keuntungan RM30,000 dalam tempoh sesingkat tiga jam dengan bermodalkan cuma RM500,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Azli berkata, wanita itu terpengaruh dengan tawaran keuntungan sehingga 6,000 peratus itu mula membuat pelaburan awal RM500.
Beliau berkata, mangsa semakin gelap mata apabila dimaklumkan sudah mendapat keuntungan selang beberapa jam mengeluarkan modal awal pelaburan berkenaan.
“Suspek mendakwa kononnya keuntungan itu hanya boleh dikeluarkan sekiranya mangsa membuat pembayaran lagi.
“Mangsa menuruti arahan suspek menerusi 42 transaksi ke 16 akaun bank berasingan antara Disember tahun lalu hingga 21 Januari lalu,” katanya.
Azli berkata, begitupun peniaga sayur tersebut tidak menerima keuntungan dijanjikan malah diarah membuat bayaran lain dan suspek kemudian terus gagal dihubungi menyebabkan wanita itu menyedari tertipu.
“Duit pelaburan keseluruhan RM214,700 merupakan simpanan mangsa dan gadaian barangan kemasnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment