Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menggalakkan lebih ramai orang kurang upaya (OKU) agar terlibat aktif dalam dalam koperasi bagi memperkasakan lagi tahap ekonomi golongan berkenaan.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini, hanya 863 daripada lebih 805,000 OKU berdaftar di negara ini menjadi ahli koperasi.
“Mereka menganggotai 25 koperasi OKU dengan syer berbayar RM0.23 juta serta meraih perolehan RM70,000 dan aset terkumpul RM1.76 juta.
“Jumlah itu masih terlalu sedikit iaitu hanya melibatkan kira-kira 0.1 peratus daripada populasi OKU di negara ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar bersama Warga Koperasi (OKU) di sini semalam.
Abdul Fattah berkata, koperasi OKU berpotensi tinggi untuk berkembang dengan empat daripada 25 yang aktif pada masa ini telah membentuk konsortium yang mendapat bimbingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Sehubungan itu, beliau mencadangkan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan OKU membuka koperasi masing-masing.
“Penglibatan dalam koperasi membolehkan NGO berkenaan terlibat dalam aktiviti ekonomi dan juga memohon dana program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati) untuk melaksanakan perniagaan,” katanya.
Selain itu, Angkasa dengan kerjasama SKM bersedia untuk membantu memberi bimbingan perniagaan dan khidmat nasihat tadbir urus pengoperasian koperasi kepada kumpulan ini.

No comments:
Post a Comment