PSM MAKASSAR FC akur gagal mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) lebih awal setelah tewas 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin.
Kekalahan itu turut merisikokan kelab Indonesia berkenaan tersingkir awal apabila kedudukannya sebagai pendahulu Kumpulan A kini dipintas BG Pathum United dan TFC.
Pengendali PSM Makassar, Bernardo Tavares berkata, skuad kendaliannya kurang bernasib baik apabila tewas menerusi sepakan penalti disempurnakan Safawi Rasid pada minit ke-62.
“Seperti pasukan lawan (TFC), kita juga mempunyai peluang keemasan tetapi bezanya tidak dimanfaatkan.
“Lawan pula menang dengan sepakan penalti. Kita kena terima hakikat tewas, itulah bola sepak,” katanya.
Tavares memberitahu, beliau terpaksa menurunkan ramai pemain muda untuk menentang TFC ekoran kecederaan ramai tonggak utama termasuk ayam tambatan mereka, Yuran Fernandes.
Beliau berkata, kekurangan pengalaman bermain di pentas tertinggi jelas menjadi ‘duri dalam daging’ terhadap mereka sehingga terpaksa tunduk dengan TFC.
“Mereka masih muda dan ghairah bermain tetapi kurang pengalaman untuk menyerap tekanan bermain di aksi Piala ACC ini.
“Begitu pun, pemain-pemain saya telah melakukan yang terbaik, saya berpuas hati dengan prestasi mereka, bukan keputusan malam ini (kelmarin),” katanya.
Tavares berkata, mereka tiada pilihan lain selain menewaskan Dong A Thant Hoa FC pada aksi terakhir, 5 Februari depan.
Katanya, PSM Makassar tiada kelebihan kerana beraksi di stadium berkecuali di Bali ekoran ketiadaan gelanggang rasmi sejak dua musim lalu.
“Thant Hoa dari Vietnam juga pasukan yang sukar dan berjaya mengikat TFC dan BG Pathum sebelum ini,” katanya.

No comments:
Post a Comment