Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Secara teorinya kenampakan hilal telah wujud di atas ufuk tetapi ia tidak semestinya menjamin kenampakan anak bulan secara fizikal berikutan kekangan cuaca seperti awan tebal dan jerebu.
Jika benar anak bulan atau hilal Syawal kelihatan 20 Mac ini, ia tidak semestinya dapat dilihat sekali gus menyaksikan kita akan ‘raya awal’ lagi pada tahun ini.
Hilal ialah anak bulan, iaitu lengkuk cahaya halus (bulan sabit muda) yang terawal kelihatan di ufuk barat sejurus selepas matahari terbenam, menandakan bermulanya bulan baharu dalam takwim hijriah.
Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata, apa pun perbezaan antara jangkaan takwin (kalendar) dan keputusan rasmi bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam penentuan awal bulan Islam.
“Sebaiknya kita bersabar dan menunggu keputusan rasmi (Hari Raya Aidilfitri) daripada pihak berautoriti kelak,” katanya.
Jelas Dr. Roslan, umat Islam negara ini dinasihat tidak tergesa-gesa membuat keputusan awal ekoran spekulasi kononnya akan berlaku lagi ‘raya mengejut’ pada tahun ini seperti 2022.
Ujarnya sebaiknya, kita perlu bersabar menunggu keputusan cerapan anak bulan atau hilal yang akan diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 29 Ramadan.
“Penentuan Hari Raya Aidilfitri di negara kita ialah gabungan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan astronomi).
“1 Syawal disahkan keesokan hari sekiranya hilal yang dicerap itu menetapi kriteria imkanur rukyah iaitu minimum ketinggiannya tiga darjah serta jarak lengkung hilal-matahari pula tidak kurang 6.4 darjah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Ahli Jawatankuasa Falak Syarie Negeri Terengganu itu mengulas dakwaan segelintir netizen di media sosial kononnya akan berlaku sekali lagi ‘raya mengejut’ seperti pada tahun 2022.
Mereka mendakwa anak bulan diramal akan mula kelihatan pada 20 Mac iaitu sehari awal daripada tarikh ditetapkan dalam kalendar tahun ini.
Roslan berkata, tarikh 1 Syawal akan diputuskan berdasarkan dapatan cerapan hilal yang dilaksanakan di banyak lokasi strategik di negara ini pada 29 Ramadan.

No comments:
Post a Comment