Translate

Sunday, March 29, 2026

Peluang makin cerah layak separuh akhir

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

TERENGGANU FC (TFC) berjaya mencapai misi menewaskan pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar FC 1-0 pada aksi keempat Piala Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC). Kemenangan itu melonjakkan TFC ke tangga kedua kumpulan sekali gus menghidupkan harapan ke separuh akhir. 

Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata, penalti disempurnakan kapten pasukan, Safawi Rasid pada minit ke-62 memberi kelegaan buat skuad kendaliannya. 

“Tempo permainan pemainpemain agak perlahan pada malam ini (kelmarin) terutama pada separuh masa pertama. 

“Kita juga menunjukkan kelemahan ketara dalam penyudahan apabila lapan percubaan ke pintu gol lawan gagal disempurnakan,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin. 

Badrul Afzan tidak menyalahkan anak-anak buahnya yang jelas agak keletihan berikutan jadual padat sejak akhir-akhir ini. TFC baru lima hari berhempas pulas menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Jumaat minggu lalu.

 “Mereka telah menunjukkan semangat juang tinggi apabila berjaya memberikan tekanan terhadap PSM Makassar pada separuh masa kedua,” katanya. 

TFC dan PSM Makassar kini berkongsi tujuh mata, namun skuad Sang Penyu memiliki kelebihan perbezaan gol dengan pendahulu Kumpulan A kini diambil alih BG Pathum United.

No comments:

Post a Comment