BESUT – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah merangka pelan bagi memastikan kestabilan bekalan kelapa biarpun berhadapan permintaan tinggi ketika bulan Ramadan dan Syawal ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelan itu diambil bagi mengelak kes kekurangan bekalan kelapa sehingga melonjakkan harga santan yang berlaku pada musim perayaan Aidilfitri tahun lalu berulang.
Beliau berkata, KPKM sudah menjangkakan permintaan santan kelapa akan meningkat pada bulan Ramadan ini dan bakal melonjak lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Buat masa ini, bekalan kelapa mencukupi biarpun berlaku sedikit kenaikan tidak ketara di beberapa tempat ekoran permintaan tinggi.
“FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) telah diarahkan agar memantau (bekalan kelapa) dan menangani segera kekurangan sekiranya berlaku,” katanya di Kuala Besut, di sini kelmarin.
Terdahulu, beliau ditemui selepas merasmikan Hub Pengumpulan, Pemprosesan, Penyimpanan dan Pengedaran Ikan (HPPPP) Pantai Timur.
Mohamad berkata, kebanyakan bekalan kelapa pada masa ini diperolehi dari Sabah dan Perak selain diimport dari Indonesia.
Dalam perkembangan sama, beliau menyeru pengguna agar melaporkan segera sekiranya berlaku kekurangan bekalan kelapa di kawasan masing-masing.
“Ia membolehkan tindakan segera (mengatasi kekurangan bekalan kelapa) diambil mengikut kawasan terjejas.
“Apapun saya dimaklumkan bekalan kelapa terutama dari Sabah terjamin untuk menampung keperluan menjelang raya ini,” katanya.
Mohamad juga menyeru pengusaha kebun kelapa tempatan seluruh negara agar meningkatkan lagi pengeluaran bagi memenuhi permintaan terutama pada musim perayaan.

No comments:
Post a Comment