Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sukar menerima insiden seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental dipukul sekumpulan lelaki di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman pada Jumaat lalu yang disifatkan di luar nilai kemanusiaan.
Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, Ahmad Zahid sewaktu berbual dengan isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, 44, menerusi panggilan video mahu keadilan ditegakkan buat Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47.
“Beliau yang bersimpati meminta saya segera bertemu isteri mangsa. Kepercayaan mesti diberikan kepada Polis Diraja Malaysia demi mendapatkan keadilan.
“Biarlah undang-undang menentukan, keluarga mangsa juga dinasihatkan agar tidak mengambil sebarang tindakan di tangan sendiri,” katanya ketika menziarah Faridah di Kuala Ibai di sini semalam.
Megat Zulkarnain berkata, keluarga juga ditawarkan khidmat guaman percuma oleh Pergerakan Pemuda UMNO bagi meneruskan tindakan perundangan terhadap individu yang memukul Ahmad Nor Al Faizan.
Beliau berkata, perkhidmatan kaunseling juga ditawarkan bagi membantu keluarga mangsa yang kini dalam keadaan trauma.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki OKU mental berusia 47 tahun dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada pukul 9.30 pagi baru-baru ini.
Insiden dipercayai berpunca rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggangi bapa kepada anak lima itu dikatakan terlanggar sebuah gerai di pasar tani terbabit sehingga menyebabkan makanan jualan tertumpah ke atas jalan.
Insiden itu menarik perhatian ramai hingga banyak yang bersimpati dengan lelaki tersebut.
Susulan kejadian itu, anak mangsa tidak dapat menahan perasaan sayu melihat bapanya yang bestatus OKU mental diperlakukan dengan kejam apabila disepak, dipijak dan diheret sekumpulan lelaki di Padang Astaka.
Menerusi perkongsian di TikTok Aty, wanita itu berkongsi gambar bersama bapanya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, semasa majlis nikah berserta luahan yang meruntun hati pengguna media sosial.
Sehingga kini, lima lelaki berusia dalam 18 hingga 60 tahun ditahan polis bagi menmbantu siasatan dan kes itu di siasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

No comments:
Post a Comment