Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu bersedia mendengar rayuan pengusaha pusat karaoke negeri ini berhubung penetapan waktu operasi baharu premis tersebut yang terhad sehingga pukul 10 malam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setakat ini, sebanyak 11 pengusaha pusat karaoke telah mengemukakan rayuan peraturan yang baru diumumkan Jumaat lalu.
“Saya akan susun perjumpaan dengan kesemua pengusaha pusat karaoke tersebut sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Kita akan bincang, dengar masalah mereka sebelum membuat kata sepakat,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran rumah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di sini hari ini.
Kosmo! Ahad kelmarin melaporkan kerajaan negeri Terengganu memutuskan operasi pusat karaoke di negeri ini terhad sehingga pukul 10 malam sahaja.
Wan Sukairi berkata, peraturan waktu operasi pusat karaoke dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu berkuatkuasa serta-merta dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarah untuk memantaunya.
Peraturan itu mendapat reaksi segera sebahagian besar pengusaha karaoke Terengganu yang merayu agar waktu operasi dipinda kepada pukul 2 petang hingga 1 pagi berdasarkan maklum balas pelanggan. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment