Oleh MOHD. AZLI ADLAN
SETIU – Keterujaan seorang isteri untuk hidup sebumbung bersama suami tercinta selepas menjadi pasangan jarak jauh (PJJ) selama 11 tahun tidak kesampaian apabila lelaki itu maut dalam kemalangan jalan raya kelmarin.
Lebih memilukan apabila Mohamad Shakiran Saidi, 36, yang bertugas sebagai anggota tentera di Johor terlibat nahas ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Mohamad Shakiran dan rakannya, Muhammad Aminuddin Amran, 21, yang bertugas di Kem 7 Workshop Briged Tebrau meninggal dunia selepas kereta Honda Civic dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 70, Jalan Kuala Terengganu Kota Bahru berhampiran Kampung Buluh di sini kelmarin.
Isteri Mohamad Shakiran, Nor Fatin Mohd. Azhar, 36, berkata, suaminya sudah lama merancang untuk menamatkan episod PJJ mereka demi memberi lebih perhatian kepada keluarga, terutama tiga anak yang semakin membesar.
“Sudah lama kami menunggu saat untuk tinggal bersama. Tapi saya tak sangka, penantian itu berakhir dengan dia pulang sebagai jenazah,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.
Cerita Nor Fatin lagi, sebelum memulakan perjalanan pulang, arwah suami sempat menghubunginya dan meluahkan rasa rindu terhadap anak bongsu mereka, Muhamad Harasy Mikhail yang baru berusia lapan bulan.
Tambah Nor Fatin, Aidilfitri tahun ini sepatutnya menjadi lebih istimewa kerana buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun perkahwinan, mereka merancang untuk mengenakan pakaian sedondon pada pagi raya.
“Arwah sendiri pilih tema merah. Dia beli baju Melayu untuk dirinya. Saya pula sediakan pakaian saya dan anak-anak,” ujarnya.
Nor Fatin berkata, hatinya bertambah hiba apabila melihat baju Melayu berwarna merah yang dibeli suaminya masih berada dalam Honda Civic dinaiki ketika terlibat kemalangan.
Sementara itu, ibu Muhammad Aminuddin, Naimah Zakaria, 54, berkata, insiden melibatkan anak kelima dari enam beradik itu seperti mengulangi tragedi sama menimpa anak keduanya yang turut maut akibat kemalangan menjelang Aidilfitri pada dua tahun lalu.
“Barulah saya faham kata-kata Aminuddin yang sering mengulang ungkapan dia sama dengan arwah abang keduanya.
“Rupanya cara kematian mereka sama iaitu kemalangan jalan raya menjelang raya,” katanya.
Naimah berkata, Muhammad Aminuddin juga pernah memberitahu untuk tidak membeli pakaian raya tahun ini sebaliknya hanya mahu memakai kurta putih pada pagi raya.
Dia yang menetap di Pulai Chondong, Machang juga tidak begitu bersemangat untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba hujung minggu ini.
“Rupa-rupanya ia petanda saya akan hilang seorang lagi anak lelaki. Ia bagai luka lama berdarah kembali,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan dipercayai berpunca selepas kereta Honda Civic dipandu Muhammad Aminuddin dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler dipandu lelaki berusia 38 tahun.
Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan treler terbabit mengelongsor ke laluan bertentangan lalu bergesel dengan sebuah kereta Proton Saga sebelum merempuh kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza yang diletak di dalam garaj di tepi jalan.
“Pemandu dan penumpang kereta Proton Saga mengalami cedera ringan akibat kemalangan itu dan menerima rawatan pesakit luar di Unit Kecemasan Hospital Setiu,” katanya.
Sementara itu, jenazah dua anggota tentera darat tersebut selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan semalam.
Muhammad Aminuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjai, Mulong, Kota Bharu, Kelantan pada 4.35 pagi, manakala Mohamad Shakiran di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedondong Hilir, Bunut Susu, Pasir Mas pada 10.35 pagi.


.jpeg)

No comments:
Post a Comment