Translate

Sunday, March 29, 2026

Tubuh jawatankuasa tangani insiden pesakit mental

 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan insiden melibatkan pesakit mental tidak berulang di negeri ini pada masa hadapan.

 Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, dua insiden termasuk yang terbaharu melibat seorang lelaki berusia 47 tahun yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman pada Jumaat lalu menjadi ikhtibar.

 “Kita sudah ada dua kes, sebelum ini, seorang suri rumah (yang meroyan) melanggar mati pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Oktober tahun lalu.

 “Mesyuarat khas Majlis Tindakan Khas Orang Kelainan Upaya (OKU) Terengganu akan diadakan pada 5 Februari ini bagi menangani kes-kes berlaku supaya tidak berulang,” katanya ketika menziarah lelaki OKU terbabit dikenali Paijang di Wad Psikiatri, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

 Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki mental berusia 47 tahun telah dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada pukul 9.30 pagi. 

Insiden dipercayai berpunca rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggangi bapa anak lima tersebut dikatakan terlanggar sebuah gerai di pasar tani terbabit sehingga menyebabkan makanan jualan tertumpah ke atas jalan. 

Maliaman berkata, jawatankuasa khas tersebut akan turut melibatkan agensi berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan jabatan kesihatan negeri. 

Beliau berkata, keluarga perlu memainkan peranan memberi perhatian serius terhadap pesakit mental dengan tidak melepaskan mereka tanpa kawalan dan ubatan. 

“Masyarakat kena belajar memahami dan mengenali pesakit mental serta bersabar.

 “Saya juga minta orang ramai berlaku adil dengan tidak menghukum semua rakyat Terengganu sehingga menghasut agar tidak datang ke negeri ini. Ia cuma kes terpencil,” katanya. 

Dalam pada itu, Maliaman berkata, Paijang yang kini dalam keadaan stabil di HSNZ menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450.

No comments:

Post a Comment